Wednesday, January 24, 2018

Ulasan Artikel Matematik

1.0  Pendahuluan
            Sejak kecil kita didedahkan dengan pelbagai konsep Matematik. Antaranya ialah penambahan, penolakan, nisbah dan lain-lain. Medium yang paling penting dalam penyebaran maklumat Matematik ialah di sekolah. Di sekolah murid didedahkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah Matematik dari peringkat mudah ke peringkat yang lebih sukar. Oleh itu kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru amat penting untuk memastikan murid faham akan konsep Matematik itu sendiri. Guru menggunakan pelbagai cara untuk memberi pemahaman kepada murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Pengajaran yang berkesan akan memberi impak yang besar pada pembelajaran.

            Proses pengajaran dan pembelajaran ialah proses dimana penyampaian maklumat berlaku. Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran maklumat ini. Antaranya ialah:

a)  Kaedah Kuliah
b)  Kaedah Perbincangan
c)  Seminar
d)  Sumbang Saran
e)  Kaedah Tunjuk Cara/Demonstrasi
f)   Kaedah Lawatan
g)  Kaedah Diskoveri/Penemuan
h)  Pembelajaran Koperatif
i)    Kaedah Bermain
j)    Kaedah Projek
k)  Kaedah Konstruktivime

            Idris (2001) menyatakan bahawa terdapat beberapa keperluan untuk  menghasilkan pengajaran yang berkesan. Antaranya ialah pemahaman yang mendalam terhadap proses pembelajaran, ciri-ciri pelajar yang berada pada tahap perkembangan yang berbeza serta faktor-faktor yang mempengaruhi motivasi. Terdapat beberapa kaedah pengajaran yang biasa digunakan dalam menyampaikan idea dan kemahiran Matematik. Kaedah tersebut ialah penyampaian secara kuliah, kaedah perbincangan, kaedah inkuiri, kaedah penemuan, pembelajaran koperatif dan kaedah projek.



2.0  Ulasan artikel 1
Penekanan dalam model STAD adalah persandaran positif dan ia merupakan tanggungjawab individu. Idea utama di sebalik penggunaan model STAD adalah untuk memberi motivasi kepada murid supaya memberi galakan dan bantuan kepada rakan-rakannya (Effandi, 2005). Slavin (2001) menjelaskan bahawa terdapat dua komponen penting dalam semua kaedah pembelajaran koperatif iaitu struktur insentif koperatif (murid diberi ganjaran berdasarkan pencapaian kumpulan) dan struktur tugasan koperatif (murid menyelesaikan tugasan secara berkumpulan). Kaedah pengajaran ini memberi penekanan kepada berpusatkan murid agar nampak menarik dan menyebabkan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas akan lebih menyeronokkan, malah mengikut Carr (2007) murid hendaklah didedahkan dengan pembelajaran yang berbentuk kumpulan kerana ini akan membantu pelajar untuk belajar membuat keputusan sendiri.

Ini dapat dilihat apabila guru membentuk beberapa buah kumpulan dan kumpulan tersebut mengandungi murid yang cemerlang dan galus. Seterusnya, guru memberi beberapa soalan untuk diselesaikan oleh ahli kumpulan. Secara tidak langsung dapat memupuk semangat bekerjasama dan bertanggungjawab dalam satu pasukan.

Kaedah koperatif merupakan satu pendekatan pembelajaran yang baik yang perlu diwujudkan dalam suasana pembelajaran di samping dapat mempertingkatkan lagi mutu prestasi murid dalam akademik terutamanya kaedah STAD. Kaedah pembelajaran koperatif iaitu kaedah pembelajaran STAD dapat membantu mengatasi masalah yang wujud di dalam pembelajaran Matematik pada hari ini serta ciri-ciri interaksi yang perlu diamalkan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

3.0  Ulasan artikel 2
            Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda murid. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh murid itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Ini bermakna pembelajaran merupakan hasil daripada usaha murid itu sendiri dan bukan dipindahkan daripada guru kepada murid. Iaitu tidak lagi berpegang pada konsep pengajaran dan pembelajaran yang lama iaitu pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru  kepada pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid tanpa murid itu sendiri berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka .


            Kelebihan pembelajaran secara konstruktivisme yang mana dapat menjadikan kaedah ini lebih menarik seperti pelajar akan lebih berfikir, lebih faham, lebih ingat, lebih yakin, lebih berkemahiran sosial, dan lebih seronok semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
           
4.0 Pemilihan Kaedah untuk Pengajaran dan Pembelajaran

             Kaedah pengajaran secara koperatif sangatlah bersesuaian digunakan untuk tajuk nombor bulat. Hal ini disebabkan oleh ia merupakan proses pengajaran dan pembelajaran yang terkini iaitu abad ke-21 yang berpusatkan murid bukan lagi pembelajaran dan pengajaran berpusatkan guru yang hanya mendengar sahaja guru mengajar di hadapan.. Murid akan berbincang bersama ahli kumpulan untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. Secara tidak langsung akan melatih murid nilai keyakinan diri untuk melontarkan pendapat, mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap ahli kumpulan, semangat bekerjasama, menghormati pendapat rakan sepasukan dan banyak lagi. 

No comments:

Post a Comment