Wednesday, January 24, 2018

Pendekatan Struktural Cerpen Hadiah

Cerpen: Hadiah (… atas kejayaan para guru menghasilkan Aku)
Pendekatan Struktural
1.    Tema
Kesungguhan dan komitmen seorang murid untuk membalas jasa guru.
Contohnya, Azizah berusaha gigih menganyam tudung saji untuk dihadiahkan kepada Cikgu Zaleha sempena Sambutan Hari Guru setelah usahanya untuk mendapatkan wang sebanyak sepuluh ringgit daripada ibu bapanya untuk membeli hadiah tidak berjaya.

2.    Persoalan
a.    Kasih sayang seorang murid terhadap guru.
Walaupun kurang berkemampuan, Azizah turut berkeinginan untuk menghadiahi gurunya dengan sesuatu.

b.    Usaha gigih seorang murid untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan menarik.
Azizah membuat anyaman tudung saji dengan empat warna. Dia ingin menyediakan sebanyak enam tudung saji.

c.    Kegigihan individu untuk menaik taraf sesuatu produk.
Azizah mencuba daun nipah, urat mengkuang dan daun lalang. Dengan berulang-ulang dia mencuba bagi meneroka pelbagai bentuk dan warna, aneka rupa dan teknik, cara serta persembahan.

d.    Berjimat-cermat dalam perbelanjaan
Azizah sentiasa menyimpan duit di dalam tabung. Namun, dia terpaksa menggunakan wang itu untuk pelbagai perbelanjaan lain.

3.    Plot
a.    Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan murid-murid sekolah rendah yang sedang bercerita tentang hadiah-hadiah yang akan dihadiahkan oleh mereka kepada guru kesayangan mereka. Kemudian, pembaca dapat melihat seorang murid bernama Azizah yang kelihatan resah kerana dia tidak berkemampuan membeli hadiah yang mahal-mahal untuk guru kesayangannya, Cikgu Zaleha.

b.    Perkembangan
Azizah semakin resah apabila rakan-rakannya mula mengejek dan dia berasa malu untuk ke sekolah tetapi dia terpaksa juga ke sekolah. Azizah meminta wang sebanyak sepuluh ringgit daripada ayahnya. Ibu dan ayahnya terkejut. Dia menjelaskan sebab dia meminta wang tersebut. Ibunya mencadangkan agar Azizah menganyam tudung saji untuk diberikan kepada Cikgu Zaleha.

c.    Klimaks
Azizah menghadiahkan satu set tudung saji yang dianyam sendiri kepada Cikgu Zaleha pada sambutan Hari Guru itu. Cikgu Zaleha menyerahkan borang Pertandingan Kraf Tangan Peringakat Daerah dan memujuk Azizah supaya menyertai pertandingan tersebut.

d.    Peleraian
Azizah memenangi kategori Karya Inovatif dalam Pertandingan Kraf Tangan Peringkat Kebangsaan dengan menghasilkan Tudung Saji 20 Beradik. Cikgu Zaleha juga telah memenangi kategori Guru Inovatif pada Hari Guru Peringkat Daerah.  
4.    Teknik Plot
a.    Teknik pemerian.
Contohnya: Azizah membuka tabung arnabnya yang dihadiahkan oleh Abang Azman sebelum pergi ke Universiti Teknologi Mara setahun yang lalu. Azizah mengira wang yang terkumpul dalam tabungnya. Wang yang ada belum cukup dua ringgit. ( halaman 46 )

b.    Teknik dialog.
Contohnya: ‘’Kau nak berikan benda itu kepada siapa?’’ tanya Zaiton.
‘’Kepada Cikgu Firdauslah. Bukankah dia akan berkahwin pada bulan depan?’’ kata Rashid dengan yakin. ( halaman 44 )

c.    Teknik saspens.
Contohnya: Tentu Cikgu Zaleha suka akan anyamannya yang halus dan menarik itu. Atau mungkin hadiahnya paling akhir dibuka kerana ringan…atau mungkin Cikgu Zaleha tidak… ( halaman 50 )



d.    Teknik Monolog.
Contohnya: Nak beli apa? Kalau majalah, cikgu selalu baca di pusat sumber lagipun majalah juga mahal. Harganya tiga ringgit lima puluh sen senaskah. Nak beli apa ya? Fikir Azizah. ( halaman 46 )

5.    Watak dan Perwatakan
a.    Azizah
i.              Seorang murid sekolah rendah.
ii.             Berasal daripada keluarga yang miskin.
iii.            Mempunyai seorang abang yang sedang belajar di universiti.
iv.           Seorang yang pandai menganyam.
b.    Cikgu Zaleha
i.              Guru sekolah rendah.
ii.             Seorang yang mahu mengembangkan bakat anak muridnya.
iii.            Guru yang suka memberikan galakan kepada anak muridnya.
iv.           Guru yang disayangi oleh murid-murid.
c.    Ibu Azizah
i.              Ibu kepada Azizah dan Azman.
ii.             Seorang yang penyabar.
iii.            Seorang yang cacat sebelah kaki dan mengambil upah dengan menganyam tikar mengkuang.
6.    Sudut pandangan aliran kesedaran
a.    Monolog dalaman
Contoh: Bicara di dalam hati atau fikiran Azizah.
Cukupkah dengan dua ringgit? Nak beli apa? Sapu tangan? Sehelai sapu tangan harganya dua ringgit lapan puluh sen.
7.    Latar
a.    Latar tempat
i.              Di sekolah: Rakan-rakan Azizah bercerita tentang hadiah yang akan diberikan kepada guru-guru kesayangan mereka.
ii.             Di rumah: Azizah memnita wang sebanyak sepuluh ringgit daripada ayahnya di rumah.
b.    Latar masa
i.              Waktu pagi: Azizah berat untuk ke sekolah tetapi dia menggagahkan diri untuk ke sekolah yang terletak tiga kilometer dari rumahnya.
ii.             Hari Guru: Azizah menghadiahkan tudung saji kepada Cikgu Zaleha sempena Hari Guru.
c.    Latar masyarakat
i.              Masyarakat yang suka bermegah-megah.
Kawan-kawan Azizah suka bercerita kelebihan hadiah-hadiah yang akan dihadiahkan kepada guru kesayangan mereka.
ii.             Masyarakat orang miskin.
Azizah datang dari keluarga yang miskin.
iii.            Masyarakat yang malu dengan status diri.
Kerana tidak mampu membeli hadiah untuk Hari Guru, Azizah malu untuk ke sekolah.
iv.           Masyarakat yang gigih.
Azizah berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk membuat kraf tangan yang cantik.

8.    Gaya bahasa
a.    Responsi
Contohnya: ‘’Betul?’’ tanya Azizah. Emak mengangguk pula.
‘’Sungguh?’’ tanya Azizah lagi. Emak mengangguk lagi. ( halaman 44 )
b.    Sinkope
Contohnya: ‘’Mak…mak ada duit tak?’’ ( halaman 44)
c.    Anafora
Contohnya: ‘’Hadiah apa pulanya ini?’’ tanya bapa separuh kehairanan.
‘’Hadiah hari guru’’. ( halaman 48)

9.    Nilai
a.    Kerajinan
Azizah rajin ke sekolah walaupun rumahnya terletak tiga kilometer dari sekolah.
b.    Kegigihan
Azizah gigih berlatih untuk menyertai Pertandingan Kraf Tangan. Dia mencuba pelbagai variasi warna untuk membuatkan kraf tangannya nampak menarik.
c.    Kesabaran
Ibu Azizah sabar sahaja dengan tingkah laku Azizah yang menuduh ibunya berbohong.
d.    Kasih sayang
Ibu Azizah sanggup memberikan duit kepada anaknya, Azman walaupun keluarganya orang miskin dan Azman sudahpun mempunyai biasiswa.


10.  Pengajaran
a.    Kita haruslah rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.
Azizah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti kraf tangan.
b.    Kita haruslah bersabar dengan tingkah laku anak-anak.
Ibu Azizah bersabar dengan kelakuan anaknya yang menuduhnya berbohong.
c.    Kita haruslah bersikap inovatif untuk mencipta barangan yang berkualiti.
Azizah mencuba pelbagai variasi warna untuk mencipta kraf tangan yang unik dan menarik.
d.    Kita haruslah memberikan galakan kepada seseorang untuk berjaya.

Cikgu Zaleha memberikan sokongan kepada Azizah supaya menyertai Pertandingan Kraf Tangan Peringkat Daerah kerana dia percaya akan bakat Azizah.

No comments:

Post a Comment